Jualan Gedung Raya sediakan platform usahawan tempatan luaskan jualan

KUCHING: Pelancaran Jualan Gedung Raya anjuran CENTEXS Commercial Sarawak hari ini menyediakan platform terbaik bagi usahawan tempatan di Sarawak
untuk memasarkan produk keluaran masing-masing ke peringkat yang lebih luas.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, inisiatif itu sangat bermanfaat ini sejajar dengan jenama pusat tersebut ” Connecting Communities & Businesses”.

“Usaha seperti ini amat penting dalam membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Ia juga memberi peluang kepada masyarakat membuat persiapan menyambut Hari Raya dengan lebih mudah dan berpatutan,” katanya semasa merasmikan pelancaran Jualan Gedung Raya di JUMA’ANI Pavilion Vista Tunku di sini, hari ini.

Program jualan bermula 7 Mac sehingga 20 Mac itu turut mengadakan jualan Rahmah dari Pasaraya Everrise selama tiga hari mulai hari ini hingga 14 Mac ini.

Inisiatif jualan Rahmah katanya, selari dengan usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya menjelang musim perayaan apabila permintaan terhadap barangan keperluan meningkat.

Tambah Dr Abdul Rahman, di Sarawak, usahawan mikro, kecil dan sederhana memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi negeri.

“Ketika ini terdapat lebih 74,000 PMKS di Sarawak yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.

“Golongan ini menyumbang sekitar RM29.7 bilion, iaitu hampir 18 peratus kepada ekonomi Sarawak,”katanya.

Ini jelas menunjukkan bahawa usahawan kecil bukan sahaja menjana pendapatan rakyat, malah menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman dan Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri.