KUCHING: Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK2) yang dijadual siap pada Mac 2028 dan boleh memuat sehingga 9,500 perwakilan, akan membolehkan Sarawak menganjur persidangan dan pameran bertaraf antarabangsa di sini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah dengan ditemani Timbalannya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo mengadakan lawatan ke tapak pembinaan projek terbabit di Jalan Pending di sini hari ini.
Douglas Uggah dalam satu kenyataan di sini berkata, BCCK2 itu merupakan satu projek strategik yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak untuk mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab penganjuran persidangan dan pameran antarabangsa terkemuka di wilayah ini.
Lawatan Uggah ke tapak projek berkenaan untuk mendapat maklumat terkini dan mendengar taklimat berkaitan pembinaannya daripada kontraktor.
Kontraktor projek BCCK2 itu memaklumkan sebahagian daripada bahan binaan adalah dari negara China untuk mengelak kesan daripada konflik di Timur Tengah dan ketidaktentuan keadaan geopolitik.
Taklimat itu bagi memastikan faktor luaran tidak menjejaskan pembinaannya
“Kita menzahirkan rasa gembira dengan kemajuan projek ini,” kata Uggah dan menambah, kontraktornya komited untuk menyiapkan projek itu mengikut jadual atau lewat awal daripada tarikh sebenarnya.
BCCK2 akan menjadi pusat yang menyokong kemudahan sedia ada di BCCK bagi membantu Kuching sebagai hab penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Chiew Chee Yau, Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ts. Meehan Jorai dan Ketua Unit Perniagaan Strategik Pembangunan Hartatanah Cahya Mata Sarawak Bhd, Shaun Mok Chek Wei.
