KUCHING: Sebanyak 56 pasukan mewakili Bahagian Kuching, Kota Samaharan dan Sri Aman akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petronas 2024 mulai Sabtu ini hingga 16 November depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesemua pasukan mewakili 23 akademi bola sepak dan sekolah di tiga bahagian berkenaan.
Empat kategori dipertandingkan mengikut peringkat umur berbeza iaitu bawah 10, 12, 14 dan 16 tahun, katanya pada sidang media di sini.
Abdul Karim berkata, kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai, piala dan pingat kepada empat pasukan terbaik bagi setiap kategori. Kejohanan ini akan mengambil masa selama dua bulan.
“Saingan melibatkan kesemua pasukan berlangsung setiap hujung minggu sahaja,” katanya dan menambah, upacara pembukaan rasmi kejohanan itu akan berlangsung pada 13 September ini di Stadium Negeri, Petra Jaya jam 7:30 malam.
Hadir sama Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) Fazzrudin Abdul Rahman dan Setiauasaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick.