Keluarga benteng utama hadapi cabaran kehidupan masa kini

KUCHING: Keluarga merupakan benteng utama dalam menghadapi cabaran kehidupan masa kini yang kian kompleks akibat pengaruh media sosial, tekanan ekonomi dan perubahan gaya hidup.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kekuatan institusi keluarga bukan sahaja menjamin kesejahteraan emosi, tetapi juga masa depan negara.

Katanya, ahli keluarga harus meluangkan masa bersama untuk menyelami masalah mahupun kehendak sesama mereka, bagi mengelakkan emosi negatif terpendam lama seterusnya berlaku perkara tidak diigini.

“Saya menyaran agar setiap keluarga meluangkan masa bersama, makan, berjalan, dan berdoa bersama kerana kebahagiaan sering bermula daripada perkara kecil yang penuh kasih sayang,” ujarnya semasa berucap dalam Program Kasih Keluarga dan Kick Off Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 sempena Hari Santubong, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Santubong itu, pelaksanaan Program Advokasi Kanak-Kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong yang menggunakan pendekatan belajar sambil bermain bagi mendidik anak-anak tentang hak mereka, keselamatan diri mendapatkan bantuan melalui Talian Kasih 15999.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi khabar gembira mengenai peruntukan sebanyak RM4.1 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.6 juta disalurkan kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) dan sebagainya.