KEMAS ejen transformasi kemajuan masyarakat desa

KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu melangkah seiring dengan arus kemajuan teknologi dan transformasi digital.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memastikan perkhidmatan mereka kekal relevan, cekap dan berimpak tinggi termasuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS.

“Bayangkan jika bahan pengajaran TABIKA dapat diakses secara dalam talian, latihan kemahiran dijalankan secara hibrid dan data kursus diurus melalui sistem digital,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan KEMAS Negeri Sarawak 2024 di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, hari ini.

Rubiah berkata, beliau pecaya semua ini akan menjadikan kerja lebih mudah, menjimatkan masa dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Warga KEMAS harus menjadi peneraju kepada perubahan ini, bukan sahaja sebagai pelaksana dasar tetapi sebagai ejen transformasi yang membawa kemajuan kepada masyarakat desa,” tambahnya.