KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) merasmikan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, TTG Kuching merupakan salah satu inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak.
Katanya, ia bertujuan menyediakan tempat persinggahan sementara bagi golongan gelandangan untuk mandi, makan, dan tidur pada waktu malam.
“Pada waktu siang, penghuni akan mengikuti aktiviti intervensi yang dikendalikan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar,”katanya di majlis perasmian terbabit.
Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak melalui ucapan belanjawan 2025 oleh Premier Sarawak telah memperuntukkan RM1.8 juta bagi operasi TTG di Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri.
“Bangunan TTG di Bintulu dan Miri juga telah siap dibaik pulih dan kini dalam proses pemilihan NGO Anchor,” tambahnya.
Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, terdapat peningkatan sebanyak 13.68 peratus kes gelandangan di Sarawak dari tahun 2023 (117 kes) kepada 133 kes pada tahun 2024.
“Bahagian Sibu mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 48 kes (36.09 peratus), diikuti Kuching dengan 19 kes (14.29 peratus),” katanya.