KUCHING: Seorang remaja perempuan bawah umur antara 15 gelandangan diselamat seterusnya ditempatkan di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Kuching dalam operasi khas yang dijalankan sehingga awal pagi tadi.
Operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan negeri bagi mengesan dan membantu gelandangan mendapatkan perlindungan sementara yang lebih selesa dan selamat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, operasi yang melibatkan kerjasama 12 agensi kerajaan itu bertujuan memberikan peluang kedua kepada individu yang terkesan.
“Mereka akan menjalani saringan kesihatan dan sesi kaunseling sebagai langkah awal untuk memulihkan semangat serta membantu mereka membina semula kehidupan,” katanya selepas operasi yang berakhir awal pagi tadi.
Menurut Fatimah, kementeriannya turut menyediakan sokongan dalam bentuk penempatan pekerjaan bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetap dan hidup secara berdikari.
Fatimah menjelaskan, TTG bukan bertujuan mengurung gelandangan, sebaliknya memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu.
“Kita tidak mahu mereka berasa seperti dikurung atau dihukum. Sebaliknya, kita mahu bantu mereka keluar daripada kitaran kehidupan jalanan dengan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai melalui padanan kerja jelasnya.
Agensi yang terlibat dalam operasi tersebut termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), RELA serta beberapa agensi lain yang memainkan peranan masing-masing.
