Sidang DUN: Kelewatan projek air, pendidikan dan kemudahan asas dibangkitkan ADUN Kabong

KUCHING: Kelewatan projek pembangunan, masalah bekalan air, keselamatan dan kemudahan asas rakyat antara perkara dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.

Beliau membangkitkan perkara itu semasa membahas Usul Penghargaan Ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di- Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Antara isu utama yang diberi perhatian ialah kelewatan Projek Bekalan Air Ulu Roban yang sehingga kini belum dimulakan walaupun peruntukannya diluluskan sejak 2021 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Penduduk di enam rumah panjang di kawasan Ulu Roban masih menunggu bekalan air bersih yang sepatutnya menjadi hak asas setiap rakyat, namun projek tersebut tertangguh,” katanya.

Chee Kadir turut mempersoalkan punca sebenar kelewatan projek berkenaan serta pihak yang perlu bertanggungjawab.

Beliau menegaskan rakyat luar bandar tidak seharusnya terus bergantung kepada sumber air yang tidak sempurna ketika pelbagai pengumuman pembangunan terus dibuat kerajaan.

Beliau turut membangkitkan masalah bekalan air di Kampung Gerigat yang didakwa berlarutan sejak beberapa hari sebelum Hari Raya sehingga kini, walaupun Loji Rawatan Lichok dikatakan mampu memproses sehingga 25 juta liter sehari selepas operasi sistem bekalan air kecemasan dilaksanakan.

Katanya, penduduk mahu penjelasan jelas daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) mengenai punca sebenar krisis bekalan air tersebut, termasuk kemungkinan kelemahan pengurusan, sistem pengagihan atau penyelenggaraan.

Dalam pada itu, Chee Kadir turut melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan pembinaan SK Abang Leman Kabong yang dikendalikan oleh JKR Persekutuan apabila projek yang sepatutnya siap pada 5 November 2022 kini dilanjutkan sehingga 30 Disember 2027.

Menurutnya, kelewatan hampir lima tahun itu memberi kesan kepada murid, guru dan ibu bapa yang terpaksa menanggung kesulitan akibat kemudahan pendidikan yang masih tidak sempurna, selain mempersoalkan tahap komitmen terhadap pembangunan pendidikan luar bandar.