Taman Negara Bukit Keluan diwarta suku ketiga 2026

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berusaha mewartakan Taman Negara Bukit Keluan di Ulu Baram yang memiliki air terjun semula jadi 3 Sisters sebagai taman negara baharu di Sarawak.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, cadangan pewartaan itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,619 hektar merangkumi lapan kampung.

Katanya, proses verifikasi status tanah masih dijalankan sebelum sempadan kawasan cadangan dimuktamadkan sepenuhnya.

“Cadangan pewartaan taman negara berkenaan dijangka siap pada suku ketiga tahun 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Selain itu, Len berkata beberapa siri penilaian biodiversiti dijalankan sepanjang 2025 bagi mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna di kawasan itu.

Menurutnya, hasil penilaian awal menunjukkan kawasan itu memiliki kekayaan biodiversiti yang tinggi dengan penemuan sekurang-kurangnya 66 spesies fauna dan 142 spesies flora.