KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan usul pelantikan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Integriti dan Ombudsman pada persidangan DUN (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Usul tersebut diluluskan setelah mendapat majoriti undian daripada Ahli-Ahli DUN Sarawak yang turut dibahaskan oleh lima ADUN.
Terdahulu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya mengemukakan usul tersebut dan menyenaraikan enam ADUN sebagai ahli jawatankuasa.
Mereka ialah ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor sebagai pengerusi, manakala lima ahlinya iaitu ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Ngemah Anyi Jana dan ADUN Tellian Royston Valentine.
Bercakap pada sidang media kemudian, Dr Juanda memberitahu, di bawah Seksyen 42(3) Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas boleh dilantik melalui usul yang dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat DUN untuk menimbangkan apa-apa perkara berkaitan laporan yang dibangkitkan dalam Dewan.
Katanya, jawatankuasa tersebut diwujudkan bagi memastikan segala laporan, rekomendasi serta teguran yang dikemukakan dalam laporan Ombudsman dipatuhi dan dilaksanakan oleh kerajaan.
“Sebarang hasil dapatan daripada laporan dan aduan rakyat yang dinilai oleh Jawatankuasa Ombudsman. Sekiranya Ombudsman mendapati terdapat asas untuk memberikan teguran, cadangan ataupun penambahbaikan kepada kerajaan, maka perkara tersebut akan disemak oleh jawatankuasa khas ini bagi memastikan tindakan diambil,” katanya.
Langkah itu, tambahnya, membuktikan Sarawak kini bergerak setaraf dengan negara maju dalam memastikan isu salah tadbir urus dan salah guna kuasa ditegur serta diperbetulkan melalui mekanisme semak dan imbang yang lebih telus.
Dr Juanda juga menjelaskan, laporan Ombudsman akan dibentangkan di DUN dan boleh dibahaskan oleh ADUN sebagai manifestasi ketelusan dan akauntabiliti pada tahap tertinggi.
“Pada masa ini, ordinan kita menetapkan bidang kuasa salah tadbir urus yang akan disemak oleh jawatankuasa Ombudsman melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri, perusahaan milik kerajaan negeri serta mana-mana pihak yang menerima upah atau gaji daripada kerajaan negeri,” ujarnya.
