Jawatankuasa Khas Ombudsman Sarawak perkukuhkan integriti pentadbiran awam

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak perlu bagi memperkukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran awam negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang menyokong usul itu berkata, malah ordinan tersebut memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, usul yang dibawa Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya itu bagi memenuhi Ordinan Ombudsman Sarawak 2023.

Katanya, melalui jawatankuasa tersebut, segala isu berkaitan salah tadbir dan kelemahan sistem penyampaian perkhidmatan awam dapat dipantau, diteliti serta ditambah baik secara lebih tersusun demi kepentingan rakyat.

“Usul ini turut memperlihatkan peranan aktif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam memperkasakan fungsi pengawasan legislatif.

“Langkah ini perlu supaya pentadbiran kerajaan bergerak selari dengan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Royston berkata,, rakyat hari ini bukan hanya menilai kerajaan berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut melihat kepada tahap integriti, kecekapan dan ketelusan pentadbiran.

“Kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang mempunyai sistem semak dan imbang yang kukuh serta berani memperbaiki kelemahan secara terbuka demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Royston turut memuji kepimpinan Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak yang menurutnya sentiasa menitikberatkan aspek integriti, reformasi institusi, digitalisasi perkhidmatan kerajaan dan pengukuhan tadbir urus.

Katanya, komitmen menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) jelas menunjukkan Sarawak sedang bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, namun kejayaan itu memerlukan asas integriti yang kukuh.