Kesan awal kanser payudara, kolorektal

KUCHING: Masyarakat digesa meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal kanser payudara dan kolorektal bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan segera.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kedua-dua jenis kanser itu antara yang paling kerap direkodkan di Sarawak.

Menurutnya, sebanyak 2,995 kes baharu kanser direkodkan di Sarawak sepanjang 2025, termasuk 476 kes kanser payudara dan 471 kes kanser kolorektal.

“Pengesanan awal mampu memberi perbezaan besar dalam pengurusan penyakit serta meningkatkan keberkesanan rawatan.

“Orang ramai perlu mengenali risiko, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pink Blue Walk 2026 sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara dan Kanser Kolorektal di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Fatimah turut menegaskan, kanser bukan sekadar isu kesihatan individu, sebaliknya memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat.

Jelasnya, program berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran, malah sebagai tanda solidariti kepada pesakit, bekas pesakit kanser serta keluarga yang terkesan.

Beliau turut menggesa masyarakat menjadikan kesedaran dan pencegahan kanser sebagai amalan berterusan sepanjang tahun, bukan hanya ketika kempen tertentu.