KUCHING: Buku 20 Ayat Membina Insan Bertakwa dan Risalah Selawat MADANI terbitan Pertubuhan MADANI Gemilang diluncurkan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Petra Jaya, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof meluncurkan buku terbabit ketika merasmikan Program Kerohanian Bina Insan MADANI 3.0 (2026) di masjid terbabit.
Fadillah berkata, sejajar aspirasi Malaysia MADANI, pembangunan insan tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik dan kemajuan material.
Katanya, pembangunan insan juga perlu diseimbangkan dengan kekuatan rohani, kematangan emosi dan pembentukan akhlak yang luhur.
“Dalam mendepani cabaran kehidupan yang semakin kompleks, kekuatan dalaman dan ketahanan jiwa merupakan antara asas penting dalam membentuk individu yang tabah, berakhlak mulia dan mampu menghadapi ujian,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kerohanian perlu bergerak seiring dengan sokongan emosi, perhatian keluarga serta bantuan profesional apabila diperlukan.
“Pada masa sama, pembinaan sahsiah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW hendaklah terus diperkasakan, khususnya dalam kalangan generasi muda,” jelasnya.
Di samping itu, penghayatan nilai kesabaran, amanah, ihsan, kasih sayang dan tanggungjawab bukan sahaja membentuk peribadi mulia, malah menjadi panduan dalam membuat keputusan serta menjalani kehidupan berlandaskan nilai-nilai murni.
Selain itu, beliau berkata kebimbangan terhadap isu kesihatan mental, termasuk kejadian bunuh diri, turut mengingatkan kita akan pentingnya membina persekitaran masyarakat yang prihatin.
Katanya, masyarakat juga perlu saling menyokong dan tidak mengabaikan mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran hidup.
