KAPIT: Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab serta pertubuhan komuniti di kawasan Parlimen Kapit diingatkan agar menguruskan bantuan kewangan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, setiap peruntukan yang diterima perlu digunakan secara berhemah mengikut keperluan dan tujuan yang ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat.
Katanya, kerjasama erat dalam kalangan ahli jawatankuasa dan persatuan juga penting bagi memastikan pengurusan bantuan dilaksanakan dengan berkesan.
“Bantuan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi juga satu amanah dan tanggungjawab bersama untuk terus memperkukuh pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Parlimen P.215 Kapit yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sejumlah RM217,600 disalurkan kepada 26 penerima bagi membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program komuniti.
Menteri Kerja Raya itu berkata, sumbangan berkenaan merangkumi keperluan pentadbiran dan pengurusan rumah panjang, program kebajikan, aktiviti kemasyarakatan serta penyediaan kemudahan asas.
