Sarawak guna pendekatan menyeluruh perkukuhkan sektor pertanian

KUCHING: Kerajaan Sarawak menumpukan kepada pendekatan yang lebih mampan dan menyeluruh melalui peningkatan produktiviti dalam mengurangkan kos input pertananian terutama baja dan makanan ternakan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, di samping itu kerajaan juga fokus pembangunan infrastruktur, penerapan teknologi moden serta pembangunan sumber input alternatif tempatan.

Pendekatan itu diyakini lebih berkesan dalam mengurangkan kos pengeluaran serta memperkukuh daya tahan sektor pertanian, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus melaksanakan program bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan tahun 2026, Kerajaan Sarawak telah menggariskan empat pendekatan bagi mengurangkan kos input secara tidak langsung dan tidak hanya bergantung kepada peningkatkan subdisi secara langsung.

Pertama, katanya memberi penekanan kepada pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (ABP) sebagai asas dalam meningkatkan produktiviti serta kecekapan penggunaan input pertanian.

Dr. Abdul Rahman berkata, kedua menggalakkan penggunaan alternatif berasaskan konsep ‘waste-to-wealth’ termasuk penghasilan baja organik daripada sisa pertanian, sisa ternakan dan bahan buangan industri agro.

Ketiga, memperkasakan penggunaan teknologi moden dan ICT yang dapat meningkatkan kecekapan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta menurunkan kos operasi keseluruhan.

Dan keempat, tegas beliau, meningkatkan khidmat sokongan berkaitan penggunaan keupayaan tanah melalui penyediaan khidmat nasihat teknikal, pemetaan, kesesuaian tanah dan cadangan jenis tanaman optimum mengikut ciri tanah tempatan.