KUCHING: Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) mengamalkan seni bina berfederasi berbanding pengumpulan data berpusat.
Menteri Pendidikan , Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu membolehkan proses membuat keputusan dilakukan secara pantas dan lebih bermaklumat.
“SAIC turut menggunakan templat pelaksanaan standard bagi meningkatkan kecekapan dan mengguna semula corak seni bina yang terbukti berkesan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Baru Bian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Jelas Roland, bagi projek yang mempunyai kes penggunaan serupa, SAIC menggunakan pendekatan reka bentuk yang sama bagi memastikan skema data diseragamkan merentasi agensi kerajaan.
Dalam masa sama, SAIC menegaskan beberapa prinsip utama yang tidak boleh dikompromi, termasuk memastikan semua data dan sistem pengkomputeran kekal berdaulat di Sarawak.
Manakala, hak penjagaan data kekal di bawah agensi rakan masing-masing, dengan SAIC hanya bertindak sebagai penyelaras atau pemegang amanah data.
