KUCHING: Sarawak terus memperkukuh agenda keselamatan makanan negeri menerusi Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Datuk Martin Ben berkata, antaranya dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran makanan tempatan dan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian serta penternakan.
Kerajaan negeri menetapkan sasaran Tahap Sara Diri (SSL) sebanyak 60 peratus bagi beras dan 25 peratus bagi daging lembu menjelang tahun 2030, katanya.
“Bagi industri padi dan beras, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk pewartaan kawasan penanaman padi.
“Ini termasuk pembangunan sistem pengairan lengkap, penggunaan benih padi berhasil tinggi serta penerapan teknologi digital dalam pengurusan pertanian,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simoh pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Katanya, kementerian berkaitan mengenal pasti kira-kira 15,000 hektar tanah berpotensi untuk pembangunan penanaman padi komersial.
Setakat ini, sebanyak 6,176 hektar diluluskan oleh Pasukan Petugas Padi dan Beras Sarawak untuk dilaksanakan.
Daripada jumlah tersebut, seluas 2,325.32 hektar tanah kerajaan diwartakan secara rasmi sebagai kawasan khas penanaman padi.
Dalam sektor penternakan pula, kerajaan turut memberi fokus kepada peningkatan populasi lembu dan kerbau melalui program pembiakan tersusun, pelaksanaan Amalan Penternakan Haiwan Baik (GAHP) serta penggunaan teknologi pembiakan moden.
Hasil daripada usaha berterusan itu, populasi lembu dan kerbau di Sarawak meningkat daripada 19,562 ekor pada 2023 kepada 21,024 ekor (2025).
