Sarawak perkukuh ekonomi hidrogen hijau melalui pembangunan berfasa dan strategik

KUCHING : Kerajaan Sarawak terus komited membangunkan ekonomi hidrogen bersih sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan negeri ini hab tenaga bersih serantau.

Ia selaras dengan dasar peralihan tenaga negeri dan pelan hala tuju ekonomi hidrogen Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, pendekatan yang diambil dilaksanakan secara tersusun dan berfasa melibatkan keseluruhan rantaian nilai hidrogen.

Ia bermula dengan pengeluaran, pemprosesan pertengahan, penggunaan domestik sehingga peluang eksport pada masa hadapan.

“Dalam memperkukuh agenda itu, PETROS melalui kerjasama dengan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd sedang membangunkan Kuching Low Carbon Gas Hub.

“ Ia menjadi komponen penting dalam segmen pertengahan industri, termasuk potensi pembangunan hidrogen dan produk terbitannya,”katanya ketika mejawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini , hari ini.

Jelas Hazland, usaha tersebut turut disokong projek metanol rendah karbon oleh Sarawak Petchem.

Ia akan memperkukuh keupayaan pertengahan industri serta membuktikan kesiapsiagaan Sarawak membangunkan ekosistem hidrogen yang berdaya maju.

Di samping itu, gabungan inisiatif berkenaan diyakini mampu meningkatkan kredibiliti Sarawak dalam menarik serta mendapatkan perjanjian pembelian jangka panjang di peringkat antarabangsa.

Kerajaan negeri turut merangsang permintaan domestik menerusi projek pemangkin seperti Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bakal menggunakan sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dan bas pengantara berkuasa hidrogen.