KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pelaburan berkualiti selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi hijau negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap projek perlu mematuhi dasar kerajaan negeri serta mengutamakan kepentingan rakyat, komuniti setempat dan pemeliharaan sumber asli.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Sumitomo Corporation di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Sumitomo menyatakan minat untuk meneroka kerjasama strategik berkaitan pembangunan projek paya bakau, karbon biru dan kredit karbon mampan di Sarawak.
Perbincangan turut menyentuh peluang kerjasama di bawah mekanisme Joint Crediting Mechanism (JCM) antara Malaysia dan Jepun bagi pembangunan projek karbon yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Jabatan Hutan Datu Hamden Mohammad.
