KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026 merupakan satu instrumen penting yang mencerminkan kedaulatan negeri Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, dengan undang-undang itu, Sarawak dapat melaksanakan langkah kawal selia yang disesuaikan dengan keadaan tempatan.
Di samping itu, ia membolehkan Sarawak menyimpan stok secara setempat dan rangkaian pengedaran yang lebih efektif bagi menjamin kestabilan pasaran hingga ke kawasan paling terpencil di negeri ini, katanya semasa membahas RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
RUU itu dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Dr Safiee berkata, RUU itu juga bukan sekadar satu pelarasan pentadbiran, tetapi merupakan satu deklarasi strategik terhadap kebebasan dan autonomi pertanian Sarawak.
Sekian lama sektor padi dan beras di negeri ini tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 Persekutuan, katanya.
Beliau menambah, walaupun akta tersebut mempunyai peranannya pada suatu ketika dahulu, ia gagal mengambil kira keunikan landskap Sarawak.
Kegagalan itu meliputi isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) hinggalah kepada cabaran logistik yang khusus di negeri ini, katanya.
“Hari ini, kita mencadangkan satu kerangka kawal selia yang diterajui Sarawak melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB) bagi mengawal penggunaan tanah, menguatkuasakan standard kualiti, serta mentadbir pelesenan dalam sempadan negeri kita sendiri,” katanya.
Apabila jelapang padi Asia Tenggara sendiri berada dalam keadaan terancam, tambahnya, Sarawak tidak boleh terus menjadi pemerhati pasif.
Kebergantungan sepenuhnya kepada mekanisme Persekutuan menyebabkan Sarawak terdedah kepada kejutan luaran.
RUU itu menyediakan asas perundangan bagi pelaksanaan intervensi bekalan kecemasan dan stok penimbal strategik demi memastikan rakyat Sarawak terus mempunyai bekalan beras.
