Proses pengeluaran hak milik strata masih hadapi kekangan teknikal

KUCHING: Proses pengeluaran hak milik strata masih belum dapat dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, ia berikutan beberapa kekangan teknikal dan isu pematuhan melibatkan pemaju serta pihak perunding.

“Beberapa projek termasuk di kawasan Kuching masih berada pada peringkat semakan teknikal seperti peringkat kedua pembahagian lot sebelum proses pengeluaran hak milik strata dimuktamadkan.

“Kerajaan melaksanakan pelbagai langkah bagi mempercepat proses pengeluaran hak milik strata,”katanya ketika mejawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini , hari ini.

Jelas beliau, proses berkenaan diyakini dapat meningkatkan tahap pematuhan pemaju dan perunding di bawah Ordinan Hak Milik Subsidiari 2019.

Antara langkah yang diambil termasuk mengadakan sesi libat urus secara berkala bersama pemaju dan perunding.

Di samping itu, ia bagi memberi penjelasan berkaitan keperluan teknikal serta membincangkan isu berbangkit.

Manakala , garis panduan dan senarai semak standard turut disediakan bagi memastikan semua permohonan memenuhi syarat teknikal sekali gus mengurangkan kesilapan dan mempercepat proses kelulusan.

“Kelewatan turut berpunca daripada dokumen tidak lengkap, ketidakpatuhan terhadap pelan bangunan yang diluluskan.

Selain itu, kelewatan pembayaran premium, pertukaran reka bentuk selepas kelulusan serta isu pencerobohan struktur bangunan di luar sempadan lot turut menjadi punca kelewatan.