Peruntukan RM7.05 juta dilulus naik taraf Stadium Negeri

KUCHING: Peruntukan sejumlah RM7.05 juta diluluskan untuk menaik taraf Stadium Negeri di ini dengan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dilantik sebagai agensi pelaksana.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, skop kerja menaik taraf stadium terbabit melibatkan penambahbaikan secara menyeluruh.

Ia memastikan kemudahan stadium berada pada tahap selamat, moden dan mematuhi piawaian semasa, katanya menjawab soalan Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, antara skop utama termasuk kerja menaik taraf tempat duduk penonton, pemasangan sistem lampu LED baharu dan skrin LED, naik taraf kaunter tiket, baik pulih bilik persalinan, tandas serta surau, selain meningkatkan infrastruktur sedia ada.

Menurut Gerald, projek berkenaan akan menyediakan persekitaran lebih kondusif bagi penganjuran pertandingan bola sepak di pelbagai peringkat, termasuk Liga Premier Sarawak yang menjadi platform penting pembangunan pemain tempatan dan kelab komuniti sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Menyentuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi, beliau berkata, kementeriannya melalui SSC sentiasa menggalak serta memperkukuh kerjasama strategik antara persatuan sukan negeri dan pihak berkepentingan.

Ini termasuk pembangunan jurulatih, tegas beliau dan menambah, SSC turut menganjurkan kursus sains sukan Tahap Satu hingga Tahap Tiga secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah dalam pelbagai disiplin sukan.