KUCHING: Penggunaan Jadual Kadar Harga (SOR) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memainkan peranan penting bagi memastikan pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan secara lebih telus, konsisten dan efisien.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, SOR tersebut merupakan mekanisme penetapan harga yang disahkan secara teknikal berdasarkan keadaan pasaran semasa, harga bahan binaan serta keperluan kejuruteraan dan teknikal projek.
Pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap projek RTP dilaksanakan mengikut piawaian seragam. Selain itu, membantu mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek demi manfaat rakyat, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Kebanyakan projek RTP di Sarawak, katanya, melibatkan kawasan pedalaman yang sukar diakses selain berskala kecil dan bertaburan yang memerlukan kos lebih tinggi berbanding projek biasa.
Faktor logistik turut memberi cabaran apabila penghantaran bahan binaan ke kawasan pedalaman memerlukan pelbagai corak pengangkutan termasuk jalan raya, sungai dan laut, tegas beliau.
“Seiring dengan ketidaktentuan pasaran semasa, SOR disemak dan dikemas kini secara berkala untuk menentukan harga semasa bahan binaan, kos buruh, pengangkutan serta kos loji dan peralatan.
“Ini bagi memastikan rangka kerja harga yang lebih stabil dan boleh diramal, khususnya ketika berlaku turun naik harga bahan binaan,” jelasnya lagi.
Penggunaan SOR, tambahnya, turut membantu mengurangkan kelewatan pentadbiran selain memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat luar bandar.
Beliau berkata, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) akan terus melaksanakan semakan serta libat urus bersama pihak industri bagi memastikan kadar SOR kekal adil, kompetitif dan praktikal untuk semua pihak.
