Pemimpin Parti PBB beri penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Cawangan Krian

SARATOK: Suasana hiba menyelubungi kediaman mendiang Datuk Douglas Sullang Ganda di Saratok apabila barisan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh politik terbabit hari ini.

Mendiang merupakan bekas Ketua Cawangan Parti PBB Krian disifatkan sebagai antara pemimpin penting dalam memperkukuh perjuangan parti di kawasan Krian serta berperanan penting dalam pembangunan politik masyarakat.

Delegasi pemimpin negeri diketuai Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Menurut beliau, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti malah seluruh masyarakat di kawasan Krian yang selama ini menghargai jasa serta pengorbanannya.

Katanya, mendiang merupakan antara pemimpin terawal yang banyak menyumbang kepada pengukuhan parti di peringkat akar umbi dan sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap perjuangan parti.

“Semangat perjuangan serta dedikasi beliau kepada parti amat tinggi dan wajar dijadikan contoh oleh generasi kepimpinan muda pada masa akan datang,” katanya semasa majlis penghormatan terakhir tersebut hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Naib Yang di-Pertua Kanan parti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Naib Yang di-Pertua parti, Dato Gerald Rentap Jabu.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.

Mendiang merupakan bekas Ahli Dewan Negara (Senator) meninggal dunia semalam pada usia 83 tahun.