KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam mempertingkatkan kesalinghubungan udara antarabangsa, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Jerip Susil.
Katanya, ini termasuk menerokai potensi pembukaan laluan penerbangan antarabangsa terus ke Miri.
“Usaha itu dilaksanakan menerusi libat urus aktif bersama dengan pelbagai pihak.
“Kita bekerjsama rapat dengan pengendali syarikat penerbangan seperti Malaysia Airports Holdings Berhad, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta agensi berkaitan,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Jelas Jerip, usaha berkenaan berdasarkan daya maju komersial serta permintaan pasaran semasa di bahagian berkenaan.
Dalam masa sama, kerajaan negeri melalui syarikat penerbangan AirBorneo turut menilai peluang membuka laluan penerbangan terus antarabangsa ke Sarawak termasuk Miri, khususnya melibatkan negara ASEAN dan pasaran serantau berhampiran.
Inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan aksesibiliti Sarawak sebagai destinasi pelancongan dan perniagaan.
Ia sekali gus diyakini dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi serta sektor pelancongan negeri.
