KUCHING: Sebanyak 84 permohonan dokumen pengenalan diri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja diluluskan.
Kelulusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dipengerusikan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 20 Januari lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, DUN Bukit Semuja merangkumi daerah Serian dan Siburan dan sebanyak 339 permohonan diterima dan diproses bagi kawasan tersebut.
“Daripada jumlah itu, 84 permohonan diluluskan dan dokumen berkaitan akan dikeluarkan secara automatik.
“Bagaimanapun, sebanyak 242 permohonan tidak berjaya manakala 13 lagi masih memerlukan siasatan lanjut,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Secara keseluruhan di Sarawak, sebanyak 13,224 permohonan pelbagai dokumen pengenalan diri diterima dari seluruh bahagian negeri.
Daripada jumlah itu, 5,776 permohonan atau 44 peratus diluluskan, manakala 6,733 permohonan atau 51 peratus ditolak dan baki 715 kes masih dalam siasatan lanjut.
Jelas Abdul Karim lagi, terdapat pelbagai kategori permohonan diproses termasuk individu tanpa dokumen pengenalan diri, pemegang sijil kelahiran lewat daftar, pemegang kad pengenalan sementara serta kes melibatkan kelahiran di luar negara.
Antara punca utama permohonan ditolak ialah kegagalan mengemukakan dokumen lengkap bagi mengesahkan hubungan kekeluargaan atau status pemohon.
