Enam projek utama di Tellian mula dibangun 2027

KUCHING: Pembangunan enam projek utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian dijangka bermula pada suku pertama tahun 2027 selepas proses tender dimuktamadkan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pelaksanaan projek tersebut dijangka mengambil masa selama 24 bulan dan disasarkan siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2029.

“Empat projek iaitu Cadangan Pasar Bersepadu Baharu Mukah dan Kemudahan Sokongan, Pembinaan Anjung Ria Senaga, Pembinaan Medan Selera Kala Dana Mukah dan Tebingan Sungai Mukah kini sedang dalam proses rekabentuk kejuruteraan.

“Kesemua projek ini dijangka ditender pada suku keempat tahun 2026,” katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.

Menurut beliau, projek Cadangan Pengawalan Hakisan Pantai Petanak pula masih dalam proses memuktamadkan jajaran dan rekabentuk awal sebelum ditender pada suku keempat tahun ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata projek Benteng Hakisan Tebingan Batang Mukah antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian telah dimuktamadkan pelaksanaannya dan dijangka siap pada 5 April 2028.

Tambah beliau, Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) akan melaksanakan pemantauan berkala bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“RADDA juga akan memastikan tiada Notis Perubahan (NOC) dibuat selepas projek dimulakan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan menepati jadual,” jelasnya.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka merancakkan pembangunan serta meningkatkan kemudahan awam dan ekonomi penduduk di kawasan Mukah khususnya di DUN Tellian.