KUCHING: Cadangan pembinaan beberapa projek jalan raya baharu serta Jambatan Batang Rajang di kawasan Machan dan Kanowit diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar selain meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, projek infrastruktur tersebut amat penting dalam menyediakan akses yang lebih selamat, cekap dan moden kepada penduduk yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai.
Menurut beliau, pembangunan jaringan jalan raya bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar khususnya dalam sektor pertanian dan aktiviti komuniti.
“Pembinaan jalan bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah menjadi talian hayat kepada penduduk luar bandar untuk meningkatkan produktiviti pertanian dan membuka peluang sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Antara projek yang dicadangkan ialah pembinaan jalan baharu dari Rumah Dian, Nanga Menalun ke Rumah Uchau, Nanga Penanggoh, Ulu Poi, Kanowit yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,440 penduduk rumah panjang serta sebuah sekolah rendah di kawasan terbabit.
Selain itu, cadangan projek jalan dari Sungai Machan ke Geremai melibatkan pembinaan jalan sepanjang 12 kilometer (km) berserta jambatan konkrit sepanjang 50 meter (m) yang bakal memperkukuh hubungan penduduk Ulu Machan dan Nanga Machan dengan Pekan Kanowit.
Beliau turut mencadangkan pembinaan jalan baharu sepanjang empat km dari Nanga Jerangku ke Rumah Panjang Lajang Ulu Machan bagi meningkatkan akses penduduk terhadap kemudahan kesihatan, pendidikan dan aktiviti ekonomi.
Dalam pada itu, beliau berharap projek pembinaan Jambatan Batang Rajang Kanowit dapat direalisasikan kerana diyakini mampu menghubungkan Pekan Kanowit dan Ngemah dengan lebih efisien selain mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap perkhidmatan feri.
