Sibu tuan rumah Sambutan Hari Sarawak 2026

KUCHING: Sibu dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Sarawak 2026 yang akan diadakan selama tiga hari mulai 20 hingga 22 Julai depan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pihaknya menjangka kehadiran melebihi 5,000 pengunjung.

Katanya, sambutan kali ini bakal menampilkan pelbagai program inklusif yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Menurut beliau, penglibatan ketua masyarakat, ketua kaum serta komuniti khususnya dari zon tengah amat penting bagi memastikan sambutan tersebut berlangsung meriah.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak Peringkat Sarawak Bilangan 1/2026 di sini, hari ini.

Antara acara utama yang dirancang ialah Karnival Jualan, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Zumba dan Unity yang dijadual berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang.

Dalam pada itu, Majlis Kesyukuran turut dijadual berlangsung di Masjid An-Nur manakala sesi Townhall akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud.

Acara kemuncak Sambutan Hari Sarawak 2026 iaitu Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat.