KUCHING: Kerajaan Sarawak menunaikan komitmennya dalam menghargai peranan pengamal media apabila menyalurkan sumbangan insentif khas kepada enam persatuan media berdaftar di negeri ini.
Keseluruhan insentif melibatkan peruntukan sebanyak RM317,800.
Enam persatuan media yang menerima sumbangan tersebut ialah Commonwealth Journalists Association Sarawak Branch sebanyak RM15,400, Journalists Association of Kuching (RM175,000), Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching (RM16,100), Sibu Journalists Association (RM28,000), The Institute of Rejang Journalists Sarawak (RM39,200) serta Northern Sarawak Journalists Association (RM44,100).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, bantuan khas tersebut sebenarnya bukan sebahagian daripada perancangan asal kerajaan mahupun dibentangkan dalam ucapan bajet sebelum ini.
Menurut beliau, insentif khas itu diumumkan sendiri oleh Premier Sarawak ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 lalu.
Jelasnya, cadangan itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar warga media sama ada media swasta mahupun media negeri dalam menyampaikan maklumat kerajaan kepada rakyat.
“Kalau dapat, dapatlah. Kalau tidak dapat pun tidak mengapa kerana ia memang bukan dalam perancangan asal kerajaan.
“Tetapi kita merasakan warga media sama ada media swasta mahupun media negeri turut memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya semasa sidang media Majlis Simbolik Penyampaian Sumbangan Insentif Khas kepada Persatuan Media Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Katanya, pemberian insentif tersebut turut mencerminkan penghargaan berterusan Premier Sarawak terhadap peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik kerajaan dalam menyalurkan informasi tepat kepada masyarakat.
Keseluruhan bantuan itu melibatkan 454 ahli daripada enam persatuan media berdaftar di Sarawak.
