KUCHING: Kestabilan ekonomi hasil pengurusan kewangan berhemah, dasar pembangunan yang jelas serta pentadbiran cekap membolehkan Sarawak bertahan daripada kesan ketidaktentuan global ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, walaupun banyak negara berdepan cabaran ekonomi yang semakin kompleks, Sarawak masih mampu mengekalkan kestabilan ekonominya.
“Keadaan itu turut disokong oleh kestabilan politik pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menjadi tonggak utama kesinambungan perancangan serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Iskandar turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan beban rakyat melalui bantuan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Tambahnya, tempoh beberapa tahun menjelang 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala dasar dan perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan negeri.
Namun begitu, beliau menegaskan pembangunan di kawasan Jepak masih memerlukan perhatian sewajarnya demi kesejahteraan penduduk.
Menurutnya, pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak merancakkan pembangunan pesat, justeru keperluan asas penduduk perlu ditangani secara komited dan bijaksana.
Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan membina lebih banyak perumahan mampu milik khusus untuk golongan B40 di Jepak yang sering terlepas pandang dalam memiliki rumah sendiri.
Iskandar turut mencadangkan penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi memastikan projek perumahan dapat dilaksanakan dengan lebih moden, cepat dan efisien.
Dalam pada itu, beliau turut merayu agar kerajaan melaksanakan penyelesaian jangka pendek terhadap isu bekalan air di Samarakan, Annau, Sungai Kemena dan Kuala Serupai di Bahagian Bintulu.
Beliau juga mencadangkan pembinaan pasar ikan baharu yang lebih sistematik di Jepak, meliputi pengurusan pendaratan, jualan serta kebersihan berkonsepkan kering dan bersih.
