Penambahan kawasan DUN Sarawak perlu disegerakan

KUCHING: Cadangan penambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi perlu disegerakan bagi memastikan sistem pentadbiran dan penyampaian pembangunan negeri lebih berkesan serta dekat dengan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, proses persempadanan semula itu penting bagi memperkukuh representasi politik selaras keperluan semasa negeri yang semakin berkembang.

Menurut beliau, Sarawak kini berada dalam fasa penting untuk merealisasikan agenda Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), termasuk pembangunan ekonomi baharu, transformasi digital, pembangunan luar bandar dan pengukuhan tadbir urus kerajaan.

Katanya, pelaksanaan agenda besar tersebut memerlukan sistem penyampaian kerajaan yang lebih cekap, responsif dan mudah diakses rakyat di setiap kawasan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini.

Tambahnya, keluasan geografi Sarawak antara faktor utama keperluan penambahan kawasan DUN kerana terdapat kawasan ketika ini terlalu luas dan sukar diakses, termasuk memerlukan perjalanan panjang melalui jalan darat serta sungai untuk bertemu penduduk.

Jelas beliau, pembahagian kawasan yang lebih kecil dan fokus akan membantu wakil rakyat memberikan perkhidmatan lebih efektif selain mempercepat pelaksanaan pembangunan dan penyelesaian isu rakyat, khususnya di luar bandar.