KUCHING: Reruai pameran Sarawak Delta UNESCO Global Geopark ditempatkanw di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini selama tiga hari bermula semalam.
Menurut kenyataan Pejabat Residen Bahagian Kuching, Kumpulan Kerja Pendidikan Awam dan Penyertaan Komuniti Sarawak Delta UNESCO Global Geopark (SDUGGp) dipengerusikan Residen Bahagian Kuching yang menganjurkan pameran itu sempena Persidangan DUN Sarawak.
Pameran itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam khususnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penjawat awam, pusat khidmat masyarakat serta media mengenai kepentingan Sarawak Delta UNESCO Global Geopark yang telah mendapat pengiktirafan pada 27 April 2026.
“SDUGGp meliputi kawasan seluas 3,112 kilometer (km) persegi yang merangkumi daerah Kuching, Bau, Padawan dan sebahagian kawasan Siburan,” menurut kenyataan itu.
Antara tarikan utama termasuk formasi batuan purba, landskap karst, kawasan tanah lembap, habitat hidupan liar serta kepelbagaian budaya dan sejarah komuniti setempat yang wujud sejak sekian lama.
“Para pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan pemuliharaan warisan geologi, kepentingan pembangunan mampan serta usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan khazanah alam semula jadi dan budaya negeri ini terus dipelihara,” tambahnya.
Penganjuran reruai pameran ini dengan kerjasama Unit Pengurusan Geopark Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sarawak Forest Corporation, Pejabat Daerah Kuching dan Pejabat Daerah Kecil Padawan.
