Teknologi 3D beri gambaran terperinci spesies pokok hutan tropika Sarawak

KUCHING: Sarawak perlu memanfaatkan teknologi 3D bagi mengenal pasti spesies pokok dalam kawasan hutan tropika negeri ini yang padat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan data teknologi 3D dapat memberikan gambaran terperinci tentang spesies pokok di hutan itu serta keupayaan masing-masing dalam menyerap karbon.

“Jika kita memiliki teknologi yang boleh mengenal pasti jenis-jenis pokok dalam hutan, ia amat bermanfaat kerana setiap hutan mempunyai ciri-ciri berbeza dan ini berkait rapat keupayaan penyerapannya terhadap karbon,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Sarawak di Pusat Penyelidikan Hutan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, selain itu, Sarawak mengambil langkah tegas untuk mengurangkan aktiviti pembalakan menerusi Pelan Induk Kelestarian 2030 dilancarkan penghujung Mei lalu.

Katanya, pelan induk tersebut mengambil kira asas pembangunan alam sekitar, pertanian, bandar dan sosial yang selari dengan matlamat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).