KUCHING: Cadangan pembinaan jalan baharu sudah dikemukakan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di sini.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata antaranya ialah
cadangan projek pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Jalan Matang – Batu Kawa terus ke bulatan jambatan.
Katanya, ini merupakan satu inisiatif strategik bagi mempelbagaikan aliran trafik dan mengurangkan beban di laluan sedia ada.
“Permohonan bagi projek ini sudah dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fazzrudin berkata, beliau juga akan terus memastikan permohonan projek ini diberi perhatian serta diluluskan demi kepentingan rakyat di kawasan DUN Tupong.
“Antara fokus utama ketika ini adalah usaha menangani isu kesesakan lalu lintas yang semakin ketara di kawasan ini,” tambahnya.
