KKM cari dana naik taraf wad Hospital Sibu

SIBU: Kerja menaik taraf siling wad Hospital Sibu yang terjejas akibat pemeluwapan memerlukan dana kira-kira RM2 juta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari dana itu dan telah melaksanakan penyelesaian sementara di salah satu wad yang terjejas.

“Bagaimanapun terdapat keperluan untuk menaik taraf siling di wad-wad terlibat,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Sibu hari ini.

Lukanisman berkata, Pengarah Hospital itu mengemukakan cadangan permohonan dana berjumlah lebih kurang RM2 juta itu.

Pada November tahun lalu, isu siling terjejas di Wad 26 Hospital Sibu tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan orang ramai dan pesakit.