Kunjungan pendidikan SJKC Kwang Chien Sarikei ke TEGAS Digital Village

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Village menerima kunjungan pendidikan dari pelajar dan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Chien, Sarikei, hari ini.

Rombongan sekolah terbabit yang dalam rangka lawatan sambil belajar ke bandar raya ini melibatkan 36 orang yang diketuai Guru Besarnya, Teck Kim Ung.

Dalam kunjungan itu mereka menghadiri satu sesi pengenalan dan tayangan video di Auditorium TEGAS Digital Village.

Rombongan juga berpeluang meninjau kemudahan inovatif yang memberi gambaran jelas tentang bagaimana TEGAS berusaha memperkasa bakat muda.

Ini dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi digital.