Laporkan salah laku projek kepada pihak berwajib

SPAOH: Pemimpin masyarakat digesa melaporkan sebarang pelaksanaan projek tidak mematuhi peraturan di kawasan masing-masing kepada pihak berwajib.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemimpin masyarakat setempat hendaklah melaporkannya segera jika mendapati pelaksanaan projek terbabit lemah atau dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi.

“Ini penting bagi menjamin semua projek dilaksanakan berdasarkan spesipikasi dan mengikut jadual,” katanya berucap pada program Jelajah Integriti untuk 300 peserta di daerah kecil Spaoh di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Dato Dr. Juanda Jaya dan Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, jika pemimpin masyarakat menaruh perasaan ragu terhadap projek terbabit, laporkannya kepada wakil rakyat, JKR atau pihak berkuasa berkaitan.

“Sebagai Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, saya berharap tidak ada lagi projek sakit atau lewat berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut menzahirkan rasa bimbangnya terhadap masalah salahguna dadah dan perjudian dalam kalangan belia di daerah terbabit.

Masalah itu jika tidak ditangani, katanya akan menjadi masalah sosial kepada masyarakat setempat dan menggesa pihak berkaitan menanganinya.