Adil kepada semua kaum – Premier

KUCHING: Kepimpinan Kerajaan Sarawak bersikap adil kepada semua masyarakat di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama, kata Premier Sarawak.

Datuk Patnggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Allah S.W.T telah memberi hikmah kepada masyarakat Islam di Sarawak dalam menjalankan tugas berteraskan apa yang terkandung dalam ‘Piagam Madinah’.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-124 di Kuching, malam tadi.

Menurut Abang Johari, fungsi kerajaan akan berjalan dengan baik sekiranya semua masyarakat termasuk bukan penganut Islam mendapat keadilan.

“Sebab itu, keyakinan umat Islam dan bukan Islam terhadap kerajaan bertapak teguh di negeri ini.

“Kepimpinan Islam di Sarawak, berpegang teguh dengan agama dan menggunakan hikmah dalam menjalankan tugas untuk mewujud keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan tidak semua masjid di Sarawak menyampaikan Khutbah Solat Jumaat dalam Bahasa Inggeris.

Sarawak tidak mengagungkan Bahasa Inggeris, malah penggunaannya adalah untuk menarik mereka yang tidak fasih dengan Bahasa Arab ataupun Bahasa Malaysia untuk memeluk agama Islam, tambahnya.

“Apabila kita mempunyai kelompok orang Islam mualaf yang memilih Islam sebagai agamanya maka kita kena berdakwah sedikit dan kita guna Bahasa Inggeris.

“Bukan bermakna semua masjid kita guna Bahasa Inggeris, hanya kawasan-kawasan yang tertentu,” tegas beliau.

Hadir sama isteri Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nasar, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Dato’ Paduka Dr Nooh Gadot, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.

GAMBAR: UKAS