BINTULU: Jambatan Bintulu-Jepak yang merintangi Sungai Kemena d sini akan mentransformasikan kawasan Jepak dengan pembangunan bandar terancang dan merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee
berkata, selain itu, jambatan berkenaan juga akan menjadi nadi penghubung untuk industri di Tanjung Kidurong, Samalaju yang terkenal dengan industri minyak dan gas, pelabuhan Bintulu dan industri yang lain.
“Dengan adanya jalan raya baharu menghubungi lapangan terbang ke pusat bandar Bintulu melalui jambatan berkenaan akan memendekkan lagi perjalanan berbanding sebelum ini, katanya ketika diminta mengulas projek Jambatan Bintulu-Jepak yang sedang giat dilaksana.
Sehubungan itu, Iskandar menjelaskan jambatan ini akan menjadi ikonik dan mercu tanda baharu untuk DUN Jepak dan menjadi daya tarikan industri pelancongan.
Beliau difahamkan berkemungkinan terdapat menara tinjau untuk melihat pemandangan di kawasan persekitaran jambatan tersebut.
Malah, jambatan itu juga akan dijadikan tempat untuk mengajurkan pelbagai acara sukan serta acara kemasyarakatan, katanya.
Lebih meyakinkan, bangunan Pusat Pentadbiran Bahagian Bintulu yang baharu di Jepak juga akan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi kerajaan negeri kepada penduduk setempat, tegas beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo berkata
perkembangan terkini fizikal untuk jambatan tersebut mendahului jadual iaitu 82.21 peratus berbanding jadual (80.89%).
Katanya, tarikh penyiapan jadual yang disemak semula ialah 14 Januari 2025.
GAMBAR:JKR SARAWAK(BINTULU)
