BINTULU: Program Youth Marketplace yang menjadi antara acara utama sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 muncul sebagai pemangkin baharu dalam memperkukuh budaya keusahawanan dan daya saing golongan belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, penganjuran itu bukan sekadar program jualan, tetapi medan pembelajaran dan latihan praktikal bagi melahirkan usahawan muda yang berdaya saing.
“Program ini memberi ruang kepada belia untuk mempraktikkan kemahiran pemasaran, komunikasi dan membina rangkaian niaga sebenar bersama masyarakat. Ia satu pendedahan awal yang amat berharga,” katanya ketika merasmikan program tersebut di padang Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Seramai 30 usahawan muda tempatan menyertai pameran dan jualan produk merangkumi pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, kraf tangan, perkhidmatan serta produk tempatan dari kawasan Bintulu dan sekitarnya.
Menurut Dr. Ripin, penglibatan aktif belia dalam platform seperti Youth Marketplace dapat memupuk budaya keusahawanan sejak awal dan memberi kesedaran bahawa bidang ini mampu menjadi sumber pendapatan yang stabil serta berdaya tahan.
Dr. Ripin turut menghargai kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Pembangunan Usahawan Bintulu (IPUB), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) serta pihak kementerian yang bersama menjayakan penganjuran tersebut.