SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkesempatan mengadakan Sesi Libat Urus bersama barisan pengurusan syarikat pengeluar panel solar terbesar di China, LONGi di sini.
Lawatan hari kedua Fadillah sempena lawatan pertama ke China sebagai Timbalan Perdana Menteri di LONGi bertujuan mengukuhkan hubungan sekali gus membuka peluang masa depan lebih cerah dalam bidang teknologi tenaga hijau.
LONGi adalah pengeluar panel solar tersenarai dan terbesar China yang menumpukan kepada usaha pengeluaran wafer silikon monohabluran.
Satu-satunya operasi global mereka ialah LONGi Kuching, bagi pengeluaran wafer silikon monohabluran.
Baru-baru ini, Longi Green Energy Technology Co telah melabur sebanyak RM1.8 bilion bagi membina tiga kilang pengeluaran produk fotovoltan di Serendah, Selangor, yang dijangka siap menjelang Mac 2024.
Terdahulu, beliau bersama delegasi mengadakan lawatan ke Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit di China (PORTSIM China).
Lawatan ke Pusat Aplikasi PORTSIM, memberi gambaran secara langsung tentang proses pengeluaran produk makanan berasaskan sawit termasuk Butterfly Cracker, Aiskrim berasaskan sawit Merah dan br(EAD) lembut yang juga berasaskan sawit merah.
Ia merupakan potensi yang bermanfaat dan tumpuan utama terletak pada langkah strategik bagi mengembangkan pasaran tokotrienol di China.
Sementara itu, ia turut memanfaatkan pasaran lautan biru dengan matlamat untuk melepasi 30-50 tan setahun.
Lawatan ke PORTSIM China bukan sekadar lawatan; ia merupakan penerokaan strategik, membuka jalan kepada penglibatan dinamik dalam industri minyak sawit China yang semakin berkembang.
