KUALA LUMPUR: Persiapan penganjuran Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 yang bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) esok berjalan lancar, dengan penyertaan lebih 6,500 peserta.
Ini termasuk 3,500 pelajar universiti dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung LBAS, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program ikonik tahunan yang menghimpunkan anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia itu padat dengan pelbagai pengisian bermanfaat serta interaksi bersama pemimpin negeri.
Menurut beliau, penganjuran kali ke-16 LBAS itu melibatkan lebih 280 sukarelawan terdiri daripada pelajar universiti anak Sarawak di seluruh Semenanjung yang membantu menggerakkan program berskala besar dan berimpak tinggi.
“Pelajar-pelajar ini akan mengikuti program seperti ceramah kerjaya, pameran, sesi temu duga pekerjaan serta pelbagai aktiviti yang menampilkan agensi dan kementerian dari Sarawak.
“Tujuannya untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai perkembangan terkini serta rancangan pembangunan di Sarawak,” katanya selepas meninjau sesi raptai dan persiapan akhir sidang media di sini, hari ini.
LBAS dianjurkan Sarawak Volunteers dengan sokongan penuh Kerajaan Sarawak, mengangkat tema “Perpaduan Dalam Kepelbagaian Teras Kemakmuran” sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi wilayah maju dan makmur berteraskan keharmonian rakyat menjelang 2030.
Menyingkap sejarah LBAS,
program itu dimulakan pada 2008, berkembang daripada sebuah perhimpunan kecil kepada platform utama yang menghubungkan pelajar, belia dan golongan profesional Sarawak di Semenanjung Malaysia dengan
pimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak.
Fadillah berkata, antara acara kemuncak yang dinantikan ialah Sesi Town Hall bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mana Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie sebagai moderator.
Beliau menjelaskan, sesi berinteraksi secara langsung antara Premier dan warga Sarawak di Semenanjung itu sering menjadi platform penting dalam merumuskan dasar baharu kerajaan negeri.
“Contohnya, dasar Inisiatif Graduan Pulang Saraak (I-GPS) yang memberi bantuan perjalanan RM600 kepada pelajar di Semenanjung serta bantuan tambahan RM1,200 pada tahun lalu, semua ini lahir daripada sesi town hall seperti ini.
“Dan kita harapkan anak-anak pelajar kita macam biasa memberikan idea-idea konstruktif, memberi pandangan buah fikiran bagaimana kita boleh meningkatkan Sarawak melalui penglibatan semua pihak. Itulah tujuannya, esok ada banyak lagi siri program,” katanya.
Selain itu, LBAS 2025 turut menampilkan Kenyalang Talk, perkongsian kisah kejayaan anak Sarawak, pameran produk tempatan serta jualan makanan dan kraf bagi memperkenalkan keunikan negeri itu kepada generasi muda.
Menurut Fadillah, majlis makan malam acara kemuncak akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Sanusi, Premier Sarawak serta barisan menteri, timbalan menteri, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Malam tersebut akan dihadiri 6,500 tetamu memandangkan kapasiti maksimum dewan sudah mencapai jumlah itu.
Fadillah turut memberitahu, kira-kira 100 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada peserta, dan nama-nama yang berjaya akan diumumkan Premier Sarawak semasa acara tersebut.
Mengulas tahap persiapan, Fadillah berkata, semua pihak bersedia sepenuhnya meskipun berdepan cabaran logistik susulan pertembungan acara Sidang Kemuncak ASEAN yang turut berlangsung di kawasan sama.
Sehubungan itu, Fadillah merakamkan penghargaan kepada Sarawak Volunteers, semua sukarelawan, wakil rakyat serta agensi kerajaan yang menjayakan penganjuran LBAS tahun ini.
