DARO: Seramai 23 pelajar menerima insentif kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro.
Pengerusinya, Safiee Ahmad berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang menerima insentif seramai 76 orang pada 2023.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Daro (ADUN) berkata, sejak 2016, seramai 427 pelajar menerima insentif itu membabitkan peruntukkan sebanyak RM106,550.
“Alhamdullillah. Ada peningkatan bilangan anak-anak di DUN Daro berjaya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke IPT setiap tahun.
“Kita sentiasa membantu daripada saya sebagai wakil rakyat (ADUN Daro) mahupun Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro bagi anak-anak yang akan melanjutkan pelajaran ke IPT,” katanya pada majlis penyampaian insentif tersebut di pejabat Pusat Khidmat DUN Daro, semalam.