LAWAS: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas (JPBD) untuk menambah aset bantuan bencana seperti beberapa unit pam air terapung dan bot-bot getah yang akan diselaras Balai Bomba dan Penyelamat Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan berpuashati dengan persiapan Bomba dan JPBD lainnya, tetapi mahu memastikan persiapan bukan setakat keupayaan anggota sebaliknya logistik mencukupi.
Sejumlah 54 kampung dan kawasan rendah di daerah ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir semasa musim tengkujuh, katanya pada mesyuarat kesiapsiagaan Monsun Timur Laut bagi daerah Lawas di sini semalam.
Beliau berkata kawasan itu meliputi perkampungan dari Bake’lalan hingga ke Lawas.
Awang Tengah turut menyuarakan kebimbangan bagi kawasan yang berada di bawah paras laut iaitu Sundar yang pastinya menerima impak serius jika berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat berterusan.
Selain itu kawasan Merapok di Kampung Paterikan, Bangkatan dan sekitarnya juga berisiko dilanda banjir besar jika limpahan air dari daerah Sindumin dan Sipitang mengalir ke Sungai Merapok, tambahnya.
