Sarawak perkukuh agenda digital, jalin kerjasama dengan Munich

MUNICH: Sarawak terus memperkukuhkan agenda transformasi digitalnya di peringkat global menerusi jalinan kerjasama strategik dengan bandar raya Munich, di Jerman yang diiktiraf sebagai Bandar Pintar Terbaik negara itu selama tiga tahun berturut-turut.

Mengetuai delegasi Sarawak dalam pertemuan bersama Timbalan Datuk Bandar Munich, Mona Fuchsialah pada Selasa ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.

Pertemuan itu memberi tumpuan kepada aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam institusi awam dan kerajaan tempatan serta pembangunan penyelesaian bandar pintar yang mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat.

Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pelaksanaan agenda pendigitalan masing-masing, termasuk pendekatan Munich memanfaatkan teknologi bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, mudah diakses dan berorientasikan rakyat.

Menurut Mona Fuchs, kejayaan Munich sebagai bandar pintar didorong oleh ekosistem inovasi yang menggabungkan kerjasama erat antara institusi kerajaan, pemain industri, organisasi penyelidikan serta komuniti setempat.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penglibatan dan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi sama untuk membangunkan sebuah bandar yang progresif dan berteraskan digital.

Tambah beliau, pengiktirafan Munich sebagai Bandar Pintar Terbaik Jerman selama tiga tahun berturut-turut membuktikan komitmen bandar raya tersebut dalam memanfaatkan teknologi untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pada masa sama, Muhammad Abdullah turut berkongsi perkembangan agenda transformasi digital negeri yang merangkumi usaha memperluas penggunaan teknologi baharu, memperkukuh infrastruktur digital serta mempercepat penerapan AI dalam pelbagai sektor pembangunan.

Pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan Sarawak untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang transformasi digital, pembangunan kecerdasan buatan dan inisiatif bandar pintar sejajar aspirasi negeri menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta dipacu inovasi menjelang 2030.