Idea belia diperlu bantu pulihara alam sekitar

KUCHING: Belia perlu diberikan ruang dan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan kelestarian alam sekitar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk pembangunan mampan serta tindakan menangani perubahan iklim.

Perkara tersebut dinyatakan Abdul Karim semasa penganjuran Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (Rainforest Youth Summit- RAYS) 2026 yang menghimpunkan wakil belia dari seluruh Malaysia, negara-negara ASEAN dan komuniti antarabangsa di Kuching.

“Bertemakan “Youth: Many Ways, One Planet”, RAYS 2026 menjadi platform untuk golongan muda berkongsi pandangan.

“Ia termasuk membina jaringan serta menyumbang idea dalam isu pemuliharaan alam sekitar, biodiversiti, perubahan iklim, pengetahuan masyarakat pribumi, inovasi dan kepimpinan komuniti,”katanya.

Karim berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian RAYS 2026 di Hotel Voco Kuching by IHG di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, penganjuran RAYS turut memperlihatkan komitmen Sarawak dalam memperkasa belia sebagai rakan strategik dalam agenda kelestarian.

Dalam dua edisi terdahulu, RAYS telah menghimpunkan lebih 1,700 peserta belia, melibatkan lebih 50 penceramah, 80 organisasi serta peserta dari 37 negara.

“Sarawak dipilih sebagai tuan rumah kerana kekayaan ekosistem hutan hujan, tanah lembap dan biodiversitinya.

“Selain usaha berterusan kerajaan negeri dalam pemuliharaan hutan, penanaman pokok, perlindungan biodiversiti, tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan rendah karbon,”jelasnya.

RAYS 2026 juga diyakini mampu menggalakkan belia bergerak daripada sekadar kesedaran kepada tindakan, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang lebih peka, berpengetahuan dan berani memperjuangkan kelestarian untuk masa depan bersama.