KUCHING: Bermula sebagai sebuah pusat rawatan khusus, Pusat Jantung Sarawak kini muncul sebagai institusi kepakaran yang diiktiraf di rantau Asia Pasifik selepas 25 tahun memperkukuhkan perkhidmatan rawatan, latihan dan pembangunan kardiologi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu membuktikan keupayaan Sarawak membina sistem perkhidmatan jantung bertaraf tinggi hasil komitmen berterusan kerajaan, tenaga kesihatan dan kerjasama strategik dengan pakar dari dalam serta luar negara.
Menurut beliau, Pusat Jantung Sarawak tidak lagi berperanan sebagai pusat rawatan semata-mata, malah menjadi institusi yang melahirkan pakar kardiologi, jururawat dan paramedik bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negeri.
“Selama 25 tahun, kita bukan hanya merawat pesakit, malah membangunkan modal insan yang menjadi tunjang kepada perkhidmatan kardiologi di Sarawak dan rantau ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kardiologi Borneo sempena ulang tahun ke-25 Pusat Jantung Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, kejayaan itu dicapai selepas pusat berkenaan melalui pelbagai cabaran sejak penubuhannya, termasuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kemampuan perkhidmatan kepakaran yang ditawarkan di Sarawak.
Katanya, kerjasama berterusan dengan institusi dan pakar dari negara seperti Indonesia dan Australia turut menyumbang kepada peningkatan kepakaran tempatan serta mutu rawatan yang diberikan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh akses kepada rawatan jantung menerusi pembangunan pusat satelit di beberapa bahagian.
Persidangan Kardiologi Borneo yang berlangsung sempena sambutan jubli perak Pusat Jantung Sarawak menghimpunkan pakar-pakar jantung dari Malaysia dan luar negara bagi berkongsi perkembangan terkini, hasil penyelidikan serta amalan terbaik dalam bidang kardiologi.
