Perancis sokong visi hab peralihan tenaga, teknologi bersih Sarawak

KUCHING: Perancis menyatakan komitmennya untuk menyokong usaha Sarawak dalam memanfaatkan sumber semula jadi negeri ini bagi membangunkan hab peralihan tenaga dan teknologi bersih yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Duta Besar Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata, lawatan beliau ke Sarawak buat kali kedua dalam tempoh kurang enam bulan mencerminkan kepentingan negeri ini kepada Kerajaan Perancis.

“Kami memahami sepenuhnya visi strategik yang digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memanfaatkan sumber asli tempatan bagi menjadikan Sarawak sebagai hab peralihan tenaga dan hab teknologi bersih.

Ia merupakan satu visi yang bercita-cita tinggi dan kami mahu menyokongnya secara proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Menurut Marc, pertemuan dengan Abang Johari merangkumi pelbagai bidang kerjasama yang berpotensi diperkukuh antara Perancis dan Sarawak termasuk aeronautik, kesalinghubungan udara, peralihan tenaga, hidroelektrik dan bekalan elektrik.

Ujarnya, beberapa syarikat Perancis sudah bertapak atau berminat memperluas penglibatan di Sarawak, termasuk dalam projek tenaga hidro, biometanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Marc juga berkata beliau telah melawat Kolej Universiti ICATS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi meneroka kerjasama penyelidikan dan akademik dalam sektor strategik seperti aeronautik, tenaga, semikonduktor dan teknologi maju.

Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan ialah Kaunselor Ekonomi Michel Cywinski, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri Dato Fenny Nuli, Naib Canselor Universiti i-CATS Datuk Prof Emeritus Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Pengarah SACED Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin serta Pemangku SUT MEESty Ts. Dr. Nurleyna Yunus.

Selepas kunjungan hormat tersebut, Premier Sarawak menerima kunjungan perpisahan daripada Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie sempena tamat tempoh perkhidmatan rasmi beliau.

Mohd Shibli berkhidmat sebagai Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) selama 28 tahun dan secara rasmi menamatkan perkhidmatannya pada 8 Jun lalu.