Sektor pelancongan perlu dikongsi bersama

KUCHING: Sektor pelancongan yang berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan negeri perlu dikongsi bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berbanding dikuasai oleh satu pihak sahaja.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, justeru Sarawak mencadangkan supaya bidang pelancongan diletakkan di bawah Senarai Bersama (Concurrent List) bagi membolehkan kuasa dan tanggungjawab berkaitan sektor tersebut dikongsi bersama.

Pelancongan tidak pernah dinyatakan secara khusus dalam pembahagian kuasa ketika pembentukan Malaysia di bawah Perjanjan Malaysia 1963 (MA63), katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian ‘BIMP-EAGA Tourism Exchange (BETX) 2026’ di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau telah lama mengemukakan cadangan agar kuasa berkaitan pelancongan diserahkan semula kepada Sarawak, namun menegaskan kerajaan negeri tidak pernah menuntut penguasaan penuh terhadap sektor tersebut.

“Itulah sebabnya saya berusaha meminta supaya kuasa pelancongan diserahkan semula tetapi kita tidak tamak kerana kita telah membincangkannya di peringkat kabinet negeri dan kita tidak mahu pelancongan berada 100 peratus di bawah kerajaan negeri.

“Kita mahu berkongsi maka sebab itu kita mahu pelancongan dimasukkan ke dalam apa yang kita panggil Senarai Bersama di mana ia bermaksud perkara yang dikongsi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Berdasarkan prinsip perundangan, katanya, perkara yang tidak terkandung dalam Senarai Persekutuan (Federal List), Senarai Negeri (State List) atau Senarai Bersama (Concurrent List) seharusnya dianggap sebagai perkara di bawah Senarai Residual yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri di mana pelancongan terletak di bawah Senarai Residual.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap tindakan yang didakwa memindahkan bidang kuasa pelancongan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa mengambil kira semangat asal pembentukan Malaysia.

Perkara tersebut perlu diteliti semula agar selari dengan prinsip dan persefahaman yang dipersetujui ketika pembentukan Malaysia pada 1963, tegas beliau.